Saturday, August 18, 2012
Friday, July 20, 2012
Mimpi Onangkiu
Dalam api ada bara
Hilang ditengah lautan
Hilang dari ingatan
Indah berseri di dalam taman
Ratu di Bija Nagara
Masih terkenang kampong halaman
Terang seluruh semesta
Keturunan Melayu sejati
Menjadi Raja semua Negara
Monday, December 12, 2011
Siti Dewi Part II
Disanjung oleh Maharisi Kala Api
Hari silih berganti hari
Sinarnya bagai mentari pagi
Ular yang diam, duduk berdiri
Helang yang terbang, akan terhenti
Melihat bayangan Siti Dewi
Mekar indah di taman sendiri
Maharisi terus bersuara
Sudah sampai masa dan ketika
Siti Dewi hidup bahagia
Bersuami raja segala raja
Dengan itu, surat jemputan
Dihantar segera pada raja sekelian
Jika Siti Dewi menjadi idaman
Sila hadir di laman pertandingan
Kala Jengking sebesar gah
Mesti dibunuh dengan anak panah
Semua raja mencuba sudah
Anak panah semuanya punah
Termasuklah Maharaja Wana
Dendam geram bercampur duka
Ingin menang senantiasa
Buruk amalan, gelap niat dan jiwa
Di Wat Tujuh Kedi Bermas
Keadaan bertambah cemas
Tiba Seri Rama, segak dan kemas
Bayangan umpama silauan mas
Anak raja Sirat Maharaja
Tiba bersama adiknya, Laksmana
Akhirnya kala jengking kalah jua
Seri Rama sudah berjaya
Geram Maharaja Wana walaupun beristeri
Termasuk sudah Mandudaki
Tapi Wana mahukan Siti Dewi
Diangkat menjadi Maharani
Timbul niat mencuri puteri
Tidak akan niat ini terhenti
Walau matahari terbit tinggi
Di atas kepala jemala diri
Maharaja Wana memulakan langkah...
Copyright © 2011 ninotaziz
All rights reserved
Monday, November 7, 2011
Pusaka Pertiwi
Ombak di laut bergelora
Hati ini sungguh gersang
Jiwa berpaut gundah gulana
Ombak di laut bergelora
Ikan pari mencari mangsa
Jiwa perpaut gundah gulana
Bangsa kepupusan bahasa
Ikan pari mencari mangsa
Di terumbu karang berhimpun
Bangsa kepupusan bahasa
Di mana syair, di mana pantun
Di terumbu karang berhimpun
Kembali ia ke Selat Melaka
Di mana syair, di mana pantun
Mari kita kembali bersama
Kembali ke Selat Melaka
Kegemilangan bangsa dan diri
Mari kita kembali bersama
Memuliakan pusaka pertiwi
Copyright © 2011 ninotaziz
All rights reserved
Sunday, October 23, 2011
Siti Dewi (Bhg I)
Dewa Serajuk di Sinar Runduk
Dewa Berembun di Sinar Naik
Masing masing tidak tunduk
Masing masing tidak berbaik
Dewa Serajuk ingin beristeri
Kepingin isteri seteru
Aduhai…Siti Andang Dewi
Puteri kayangan gebu
Dewa Berembun datang
Sebalik igauan dalang
Siti Andang Dewi ditatang
Dewa Serajuk menghilang
Turun ke bumi, terlahir
Putera Batara Baha
Manusia pada zahir
Itulah Maharaja Wana
Siti Andang Dewi tertipu
Bila berdepan suami tercinta
Maruah diri begitu malu
Turun ke bumi menuntut bela
Menghapus Dewa Sarajuk terkutuk…
***
Dewa Berembun begitu hiba
Apabila permaisuri menghilang
Dicari, diigau, dimimpi, dipuja
Malam berganti siang
Rindu tak dapat dibendung
Takhta di beri Dewa Yang Kenung
Negara kita baiklah dijaga
Beta turun ke bumi nyata
Inilah Canggar Api
Jangan sekali-kali leka
Kuasa bagai gunung berapi
Menghapus musuh yang ada
Manusia hancur, bukit runtuh, dewa cair
***
Maharaja Wana sungguh liar
Dihukum Batara Baha membawa diri
Bertapa Maharaja Wana terbiar
1000 tahun di Langkapuri
Akhirnya merajai seluruh bumi
Cuma negeri dihujung dunia
Sirat Maharaja nama diberi
Maharaja sungguh mulia
Beristerikan Mandudari jelita
Ibu angkat Dewa Berendam
Lahir mantan Seri Rama
Ingin melepaskan rindu dendam
Menjelajah mencari Siti Andang Dewi
***
Maharaja Wana beristeri semua
Beranak pinak makhluk durjana
Ular, gajah, rimau seluruh benua
Mengetuai angkatan bala
Namun Wana mencari isteri
Bakal bergelar Maharani
Kepingin pula Mandudari
Tidak berubah naluri
Akan tetapi Mandudari
Bijak akal, sakti berilmu
Mandi serum mengupas daki
Mandudaki jelmaan debu
Tiada cacat cela, dibadan
Wajah seraut, rambut seikal
Bagai bulan penuh rupawan
Rupa tidak dapat disangkal
Maharaja Wana terpedaya, leka ditawan
***
Mandudaki terus berpantang
Hilang bulan, timbul kandungan
Ahli Nujum bertilik rentang
Rahsia zaman berzaman
Anak ini dari kayangan
Datang menuntut hutang
Hutang malu zaman berzaman
Tuanku dalam bahaya bayang
Bayi ditebus, di layarkan
Tasik tujuh, sungai pun tujuh
Tiba di penghujung pelayaran
Di wat Maharisi Empat Puluh
Siti Andang Dewilah bayi suci
Sampai ke bumi bergelar Siti Dewi
Dibelai dididik Maharisi Kala Api
Hingga anak dara sunti
Semua memandang, gila berahi
Copyright 2011 ninotaziz
All rights reserved
Monday, June 13, 2011
Anak Raja Gondang
Di suatu zaman dahulu
Segak berdiri Duli Tuanku
Putera yang ditunggu
Bakal lahir menanti waktu
Alangkah hiba dan malu
Seluruh istana rawan dan pilu
Permaisuri diam dan kelu
Melahirkan gondang yang satu
Raja murka yang teramat
Permaisuri di halau di laknat
Terseksa jiwa terasa berat
Lemah nyawa hilang semangat
Gondang dibawa lari
Kehidupan baru dicari
Sehingga masa berlalu pergi
Istana tiada diingat lagi
Satu hari, terbelah gondang
Timbul putera terbilang
Menghibur hati ibu tersayang
Hingga tiba waktu balasan
Tinggallah ibu sementara waktu
Putera ingin mengadap Tuanku
Membela nasib derita ibu
Tiada gunanya hidup begitu
Saban hari ibu menunggu
Pulangnya putera yang satu
Di cari warta di awan biru
Di lautan dalam, di tasik bayu
Anak Raja Gondang...
Sunday, April 24, 2011
Posting hebat mengenai pantun nusantara
Sila hayati.
